Khamis, 20 Oktober 2016

Sebar video lucah: Guru besar diberi amaran, ditukar sekolah

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan mengeluarkan amaran bertulis kepada seorang guru besar di Sabah dan menukarkannya ke sekolah lain, kerana memuat naik video lucah dalam sebuah kumpulan WhatsApp.
 
Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan berkata, tindakan itu diambil melalui Jabatan Pendidikan Negeri Sabah.
 
“Setiap kes aduan yang statusnya berasas akan diambil tindakan sewajarnya mengikut prosedur sedia ada di Kementerian Pendidikan,” katanya ketika menjawab soalan Teo Nie Ching (DAP-Kulai) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
 
Teo mahu mengetahui tindakan diambil terhadap guru yang mewujudkan kumpulan WhatsApp dan memuat naik video lucah untuk tatapan anggota kumpulan itu.
 
Kamalanathan berkata, hasil siasatan dan temu bual Pejabat Pelajaran Daerah dengan guru besar itu mendapati, dia merupakan seorang daripada pentadbir kumpulan WhatsApp dan bukannya individu yang mewujudkan kumpulan terbabit.
 
Beliau berkata, guru besar terbabit turut menjelaskan kewujudan kumpulan WhatsApp itu untuk perkara lain, bukannya berkaitan dengan pedagogi (pengajaran) dan pendidikan.
“Guru besar itu mengakui kesilapannya dan sudahpun keluar daripada kumpulan WhatsApp itu, tapi sekiranya berlaku lagi, tindakan lebih berat akan diambil,” kata Kamalanathan.
 
Beliau berkata, pada masa sama, Kementerian Pendidikan juga tidak menolak mengambil tindakan tegas terhadap guru lain terbabit, jika menjejaskan bidang pendidikan dan hal ehwal pelajar.
 
Sumber - FMT, MSN News
Previous Post
Next Post

About Author